Koperasi Kita Komitmen Kita
Koperasi Celcom Berhad 4, Jalan Kent 5, Off Jln Maktab, 54000 Kuala Lumpur Phone03-2694 3388



Koperasi Celcom Berhad
PERUTUSAN PENGERUSI
   
  KATA-KATA ALUAN
YANG BERBAHAGIA PENGERUSI
KOPERASI CELCOM BERHAD
 
 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya dapat kita berhimpun di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi Celcom Berhad Kali Yang Ke-26 pada pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini.
Saya, mewakili semua warga KOPCEL yang terdiri dari Anggota Lembaga, seluruh anggota dan pengurusan KOPCEL, merakamkan penghargaan serta ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Dihormati wakil kepada Ketua Pengarah SKM, Wilayah Persekutuan di atas kesudian melapangkan masa bagi menyertai bersama Majlis Perasmian Mesyuarat Agung, secara dalam talian pada kali ini.
Selaku Pengerusi Koperasi Celcom Berhad (KOPCEL), ini merupakan julung-julung kali KOPCEL menganjurkan Mesyuarat Agung Koperasi Celcom Berhad secara dalam talian dan kini ianya menjadi trend sejak penularan Pandemik Covid 19 yang melanda Negara juga diseluruh pelusuk dunia.


Seperti yang kita sedia maklum, pada penghujung tahun 2019 dan 2020 merupakan tahun yang paling mencabar buat KOPCEL kerana kita telah diuji dengan masalah Pandemik Covid 19 yang melanda negara dan seluruh dunia. Namun ianya bukanlah alasan untuk kita mengalah dan berputus asa, akan tetapi ianya menjadi pemangkin untuk kita lebih kreatif bagi memastikan kejayaan dan harapan KOPCEL akan berterusan.
Tidak dinafikan dengan ujian dan cabaran seperti ini ianya telah memperlihatkan aktiviti yang kurang memberangsangkan buat KOPCEL dimana ianya telah menjejaskan sedikit objektif strategik KOPCEL dan mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang tidak memberangsangkan serta kurang mencapai matlamat seperti yang telah dirancangkan.


Kami berharap pada tahun-tahun yang mendatang ini KOPCEL akan berusaha untuk merancang strategi perniagaan, dengan 'trend' terkini yang lebih sesuai, sebagai contoh, Kopcel menceburi perniagaan secara dalam talian yang boleh mendatangkan manfaat kepada KOPCEL agar kita berada di landasan yang betul dalam membina kekuatan teras untuk merealisasikan potensi KOPCEL sepenuhnya.


Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, pendapatan KOPCEL menurun sebanyak 22% kepada RM1,522,822.81 berbanding RM1,941,174.04 pada tahun 2018.
Manakala bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, pendapatan KOPCEL menurun sebanyak 10% kepada RM1,375,800.34 berbanding RM1,522,822.81 pada tahun 2019.
Penurunan prestasi ini menjadi cabaran untuk dalam memberi pulangan yang kukuh kepada para anggota sebagai ganjaran terhadap sokongan mereka yang tidak berbelah bagi.


Sehubungan dengan itu, demi mencapai satu tahap yang lebih cemerlang, adalah penting untuk difahami bahawa kebergantungan hanya kepada aktiviti kredit, perniagaan runcit, hartanah semata-mata bukanlah objektif yang ingin dicapai mahupun disasarkan. Adalah wajar sekiranya Kopcel dapat bergerak lebih jauh dengan mempelbagaikan aktiviti yang lebih berdaya maju.
Selain itu, secara peribadi, saya menjangkakan tahun 2020 dan seterusnya adalah tahun-tahun yang mencabar ekoran perubahan lanskap ekonomi dunia yang sudah berubah dengan begitu mengejut sekali sejak peristiwa penularan pandemic Covid 19 yang melanda Negara kita dan seluruh dunia. Dalam hal ini, aktiviti Koperasi juga merasai kesan tempiasnya.


Sejak tahun 2020 aktiviti pinjaman kredit berkurangan kerana anggota kurang memohon pinjaman dari KOPCEL. Diantara sebab-sebab utama kerana ada diantara anggota menerima kemudahan dan bantuan kewangan dari Kerajaan sebagai ihsan bagi mengurangkan perbelanjaan harian dan pendapatan tidak terjejas teruk. Sikap berhati-hati dalam menambahkan beban hutang juga adalah antara factor anggota kurang membuat pinjaman dari KOPCEL.


Maka dengan ini jelas membuktikan bahawa kebergantungan hanya semata-mata kepada aktiviti kredit bakal memberikan implikasi yang kurang berkesan kepada kelangsungan 'Business Entity KOPCEL'.
Namun begitu, ini tidak bermaksud KOPCEL akan memberhentikan serta mengecilkan aktiviti kredit tetapi mahu bersikap dan bertindak lebih pragmatik dan realistik. Untuk itu, KOPCEL mensasarkan fokus peningkatan sebanyak 10% aktiviti ini daripada jumlah kendalian sekarang.
Seperti yang saya maklumkan pada awal tadi, demi memantapkan lagi 'survival' dan kelangsungan entiti serta penghasilan kepelbagaian produk KOPCEL (Business Diversification) KOPCEL perlu memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan secara atas talian ('online') dengan cara yang lebih proaktif. Ini berikutan dengan perubahan iklim dan corak perniagaan dari cara konvensional kepada digital. Pendekatan seperti ini adalah amat penting demi menjana serta menjamin pendapatan yang mampan dan kukuh untuk dinikmati secara menyeluruh oleh anggota-anggotanya.


Demi memastikan kelangsungan kebajikan anggota yang berterusan dan menjamin pulangan yang lebih maksimum, KOPCEL kini turut mengambil tindakan proaktif di dalam memberi pelbagai idea secara berterusan bagi memastikan pendapatan akan terus memberangsang dan berada di landasan yang betul.


Hal ini dengan jelas memperlihatkan bahawa barisan Anggota Lembaga serta Pengurusan KOPCEL sentiasa komited dan serius di dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dan berusaha setiap masa untuk menitikberatkan kebajikan serta memberikan pulangan optimum yang seharusnya dinikmati oleh anggota.


Namun begitu, saya percaya adalah menjadi harapan yang amat besar khususnya daripada Anggota yang begitu setia dan tidak putus-putus memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi, khususnya anggota dari Syarikat Kumpulan Axiata seperti CELCOM, Edotco Malaysia dan On-Site Services(OSS), agar kakitangan KOPCEL dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah ini dengan jayanya.


Cabaran-cabaran yang telah saya sebutkan sebentar tadi harus ditangani dengan cekap dan berkesan. Sehubungan itu, semua Anggota Lembaga serta warga di dalam KOPCEL haruslah bersedia untuk merubah minda dan cara bekerja supaya dapat menerima, menggerakkan serta menghayati inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan yang mencakupi keseluruhan aspek organisasi. Kita sewajarnya menanam dan menyemai budaya kecemerlangan yang berteraskan kerja prestasi tinggi dalam setiap tindakan yang dilaksanakan.


Izinkan saya membuat perkongsian penting kepada empat(4) perkara yang telah digariskan untuk maklumat semua perwakilan hari ini. Empat perkara tersebut adalah:


Agenda Transformasi ini hendaklah dilaksanakan dengan serta merta;
Mengoptimumkan sepenuhnya kekuatan teras;
Mencari kesesuaian kepada peluang industri/produk dan mengkaji cabarannya; dan
Sokongan penuh dan padu Anggota Lembaga KOPCEL dan Pengurusan kepada agenda ini;
Untuk itu, saya selaku Pengerusi KOPCEL ingin menyatakan pendirian yang tidak berbelah bagi kepada Agenda Transformasi ini. Objektif dan matlamat ini adalah begitu ketara demi menjamin kecekapan tadbir urus di dalam memastikan kecemerlangan organisasi KOPCEL khususnya. Begitu jugalah harapan saya untuk bekerja bersama tuan-tuan dan puan-puan semua demi memartabatkan KOPCEL ke satu tahap yang membanggakan.


Adalah jelas bahawa perancangan dan agenda ini bertujuan untuk memberi pulangan yang lebih baik kepada anggota KOPCEL di samping mengembalikan keunggulan KOPCEL sebagai sebuah Koperasi yang berdaya maju dan berjaya.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mengemudi organisasi yang begitu penting buat warga di Kumpulan Axiata.


Saya bersedia menerima sebarang cadangan yang diusulkan berkaitan penambahbaikan KOPCEL ini sekiranya segala cadangan tersebut tidak mendatangkan sebarang kemudaratan. Semoga KOPCEL terus mencatatkan kecemerlangan yang berterusan dan memenuhi ekspektasi tinggi anggota-anggota yang saya hargai.


Saya bagi pihak Anggota Lembaga dan semua warga koperasi, mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam usaha membantu KOPCEL dengan memberikan segala bentuk pandangan, nasihat dan teguran demi kebaikan kita bersama.
Seperkara lagi, dengan pencapaian yang sederhana ini, Anggota Lembaga Koperasi Celcom Berhad telah bersetuju memberi dividen sebanyak 1% (yuran) dan 1% (saham) kepada anggota bagi tahun 2019.
Saya akhiri ucapan ini dengan lafaz wabillah hi taufik wal hidayah wassalamu 'alaikum warahmatullah hi wabarakatuh.


Sekian, wassalam.


KOPERASI KITA KOMITMEN KITA
TUAN HAJI MOHD MUDASIR BIN ABDULLAH
PENGERUSI
KOPERASI CELCOM BERHAD

 
     

VISI & MISI

  VISI

"Untuk menjadi koperasi yang terbaik di Malaysia dan memberikan pulangan terbaik kepada anggota"

MISI

Memastikan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi disampaikan kepada para Anggota dan pelanggan

Menjadi Koperasi yang berdaya saing dan melaksanakan perniagaan yang bijak atas setiap pelaburan dan memastikan pulangan yang terbaik kepada Anggota

Memastikan tadbir urus koperat yang terbaik dalam urusan bersama Anggota, pelanggan, rakan perniagaan dengan lebih bersifat telus dan terbuka ke arah pencapaian ke tahap yang lebih cemerlang dan profesional.

Memastikan pencapaian dan pengurusan yang cemerlang dalam memberikan peluang yang terbaik kepada warga kerja KOPCEL dan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap koperasi.