Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNya dapat
kita berhimpun di dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Koperasi
Celcom Berhad Kali Yang Ke-26 pada pagi Jumaat yang penuh keberkatan ini.
Saya, mewakili semua warga KOPCEL yang terdiri dari Anggota Lembaga,
seluruh anggota dan pengurusan KOPCEL, merakamkan penghargaan serta
ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Dihormati wakil kepada
Ketua Pengarah SKM, Wilayah Persekutuan di atas kesudian melapangkan
masa bagi menyertai bersama Majlis Perasmian Mesyuarat Agung, secara
dalam talian pada kali ini.
Selaku Pengerusi Koperasi Celcom Berhad (KOPCEL), ini merupakan
julung-julung kali KOPCEL menganjurkan Mesyuarat Agung Koperasi Celcom
Berhad secara dalam talian dan kini ianya menjadi trend sejak penularan
Pandemik Covid 19 yang melanda Negara juga diseluruh pelusuk dunia.
Seperti yang kita sedia maklum, pada penghujung tahun 2019 dan 2020
merupakan tahun yang paling mencabar buat KOPCEL kerana kita telah diuji
dengan masalah Pandemik Covid 19 yang melanda negara dan seluruh dunia.
Namun ianya bukanlah alasan untuk kita mengalah dan berputus asa, akan
tetapi ianya menjadi pemangkin untuk kita lebih kreatif bagi memastikan
kejayaan dan harapan KOPCEL akan berterusan.
Tidak dinafikan dengan ujian dan cabaran seperti ini ianya telah
memperlihatkan aktiviti yang kurang memberangsangkan buat KOPCEL dimana
ianya telah menjejaskan sedikit objektif strategik KOPCEL dan
mencatatkan pertumbuhan pendapatan yang tidak memberangsangkan serta
kurang mencapai matlamat seperti yang telah dirancangkan.
Kami berharap pada tahun-tahun yang mendatang ini KOPCEL akan berusaha
untuk merancang strategi perniagaan, dengan 'trend' terkini yang
lebih sesuai, sebagai contoh, Kopcel menceburi perniagaan secara dalam
talian yang boleh mendatangkan manfaat kepada KOPCEL agar kita berada di
landasan yang betul dalam membina kekuatan teras untuk merealisasikan
potensi KOPCEL sepenuhnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, pendapatan KOPCEL menurun
sebanyak 22% kepada RM1,522,822.81 berbanding RM1,941,174.04 pada tahun
2018.
Manakala bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, pendapatan
KOPCEL menurun sebanyak 10% kepada RM1,375,800.34 berbanding
RM1,522,822.81 pada tahun 2019.
Penurunan prestasi ini menjadi cabaran untuk dalam memberi pulangan yang
kukuh kepada para anggota sebagai ganjaran terhadap sokongan mereka yang
tidak berbelah bagi.
Sehubungan dengan itu, demi mencapai satu tahap yang lebih cemerlang,
adalah penting untuk difahami bahawa kebergantungan hanya kepada
aktiviti kredit, perniagaan runcit, hartanah semata-mata bukanlah
objektif yang ingin dicapai mahupun disasarkan. Adalah wajar sekiranya
Kopcel dapat bergerak lebih jauh dengan mempelbagaikan aktiviti yang
lebih berdaya maju.
Selain itu, secara peribadi, saya menjangkakan tahun 2020 dan seterusnya
adalah tahun-tahun yang mencabar ekoran perubahan lanskap ekonomi dunia
yang sudah berubah dengan begitu mengejut sekali sejak peristiwa
penularan pandemic Covid 19 yang melanda Negara kita dan seluruh dunia.
Dalam hal ini, aktiviti Koperasi juga merasai kesan tempiasnya.
Sejak tahun 2020 aktiviti pinjaman kredit berkurangan kerana anggota
kurang memohon pinjaman dari KOPCEL. Diantara sebab-sebab utama kerana
ada diantara anggota menerima kemudahan dan bantuan kewangan dari
Kerajaan sebagai ihsan bagi mengurangkan perbelanjaan harian dan
pendapatan tidak terjejas teruk. Sikap berhati-hati dalam menambahkan
beban hutang juga adalah antara factor anggota kurang membuat pinjaman
dari KOPCEL.
Maka dengan ini jelas membuktikan bahawa kebergantungan hanya
semata-mata kepada aktiviti kredit bakal memberikan implikasi yang
kurang berkesan kepada kelangsungan 'Business Entity KOPCEL'.
Namun begitu, ini tidak bermaksud KOPCEL akan memberhentikan serta
mengecilkan aktiviti kredit tetapi mahu bersikap dan bertindak lebih
pragmatik dan realistik. Untuk itu, KOPCEL mensasarkan fokus peningkatan
sebanyak 10% aktiviti ini daripada jumlah kendalian sekarang.
Seperti yang saya maklumkan pada awal tadi, demi memantapkan lagi 'survival'
dan kelangsungan entiti serta penghasilan kepelbagaian produk KOPCEL
(Business Diversification) KOPCEL perlu memfokuskan kepada
aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan perniagaan secara atas talian ('online')
dengan cara yang lebih proaktif. Ini berikutan dengan perubahan iklim
dan corak perniagaan dari cara konvensional kepada digital. Pendekatan
seperti ini adalah amat penting demi menjana serta menjamin pendapatan
yang mampan dan kukuh untuk dinikmati secara menyeluruh oleh
anggota-anggotanya.
Demi memastikan kelangsungan kebajikan anggota yang berterusan dan
menjamin pulangan yang lebih maksimum, KOPCEL kini turut mengambil
tindakan proaktif di dalam memberi pelbagai idea secara berterusan bagi
memastikan pendapatan akan terus memberangsang dan berada di landasan
yang betul.
Hal ini dengan jelas memperlihatkan bahawa barisan Anggota Lembaga serta
Pengurusan KOPCEL sentiasa komited dan serius di dalam melaksanakan
tanggungjawab yang diamanahkan dan berusaha setiap masa untuk
menitikberatkan kebajikan serta memberikan pulangan optimum yang
seharusnya dinikmati oleh anggota.
Namun begitu, saya percaya adalah menjadi harapan yang amat besar
khususnya daripada Anggota yang begitu setia dan tidak putus-putus
memberi sokongan padu yang tidak berbelah bagi, khususnya anggota dari
Syarikat Kumpulan Axiata seperti CELCOM, Edotco Malaysia dan On-Site
Services(OSS), agar kakitangan KOPCEL dapat melaksanakan tanggungjawab
dan amanah ini dengan jayanya.
Cabaran-cabaran yang telah saya sebutkan sebentar tadi harus ditangani
dengan cekap dan berkesan. Sehubungan itu, semua Anggota Lembaga serta
warga di dalam KOPCEL haruslah bersedia untuk merubah minda dan cara
bekerja supaya dapat menerima, menggerakkan serta menghayati
inisiatif-inisiatif yang diperkenalkan yang mencakupi keseluruhan aspek
organisasi. Kita sewajarnya menanam dan menyemai budaya kecemerlangan
yang berteraskan kerja prestasi tinggi dalam setiap tindakan yang
dilaksanakan.
Izinkan saya membuat perkongsian penting kepada empat(4) perkara yang
telah digariskan untuk maklumat semua perwakilan hari ini. Empat perkara
tersebut adalah:
Agenda Transformasi ini hendaklah dilaksanakan dengan serta merta;
Mengoptimumkan sepenuhnya kekuatan teras;
Mencari kesesuaian kepada peluang industri/produk dan mengkaji
cabarannya; dan
Sokongan penuh dan padu Anggota Lembaga KOPCEL dan Pengurusan kepada
agenda ini;
Untuk itu, saya selaku Pengerusi KOPCEL ingin menyatakan pendirian yang
tidak berbelah bagi kepada Agenda Transformasi ini. Objektif dan
matlamat ini adalah begitu ketara demi menjamin kecekapan tadbir urus di
dalam memastikan kecemerlangan organisasi KOPCEL khususnya. Begitu
jugalah harapan saya untuk bekerja bersama tuan-tuan dan puan-puan semua
demi memartabatkan KOPCEL ke satu tahap yang membanggakan.
Adalah jelas bahawa perancangan dan agenda ini bertujuan untuk memberi
pulangan yang lebih baik kepada anggota KOPCEL di samping mengembalikan
keunggulan KOPCEL sebagai sebuah Koperasi yang berdaya maju dan berjaya.
Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih di atas kepercayaan yang
diberikan kepada saya selama ini untuk mengemudi organisasi yang begitu
penting buat warga di Kumpulan Axiata.
Saya bersedia menerima sebarang cadangan yang diusulkan berkaitan
penambahbaikan KOPCEL ini sekiranya segala cadangan tersebut tidak
mendatangkan sebarang kemudaratan. Semoga KOPCEL terus mencatatkan
kecemerlangan yang berterusan dan memenuhi ekspektasi tinggi
anggota-anggota yang saya hargai.
Saya bagi pihak Anggota Lembaga dan semua warga koperasi, mengambil
peluang ini untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada
semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam
usaha membantu KOPCEL dengan memberikan segala bentuk pandangan, nasihat
dan teguran demi kebaikan kita bersama.
Seperkara lagi, dengan pencapaian yang sederhana ini, Anggota Lembaga
Koperasi Celcom Berhad telah bersetuju memberi dividen sebanyak 1% (yuran)
dan 1% (saham) kepada anggota bagi tahun 2019.
Saya akhiri ucapan ini dengan lafaz wabillah hi taufik wal hidayah
wassalamu 'alaikum warahmatullah hi wabarakatuh.
Sekian, wassalam.
KOPERASI KITA KOMITMEN KITA
TUAN HAJI MOHD MUDASIR BIN ABDULLAH
PENGERUSI
KOPERASI CELCOM BERHAD
|