03-2694 3388 members@kopcel.com.my

Ucapan Pengerusi

Ucapan Pengerusi

KATA-KATA ALUAN

YANG BERBAHAGIA PENGERUSI

KOPERASI CELCOM BERHAD

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T atas limpah kurniaNYA dapat kita berkumpul sekali lagi dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Koperasi Celcom Berhad Kali Ke-24. Saya mewakili seluruh warga Kopcel mengalu-alukan kehadiran semua anggota perwakilan. Semoga naungan kasih sayang Allah sentiasa bersama kita.

Sepanjang perjalanan pengurusan dan pentadbiran koperasi khususnya pada tahun kewangan 2017, Kopcel telah menghadapi cabaran yang begitu besar ekoran daripada keadaan kekangan ekonomi semasa yang terus melanda. Namun begitu Koperasi terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan anggota dari semasa ke semasa. Kemelut pemulangan semula caruman anggota yang berhenti ditangani dengan berhati-hati mengikut kemampuan dana pada setiap bulan. Pengstrukturan kewangan dirangka secara berperingkat-peringkat mengikut nasihat berterusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kecemerlangan sesebuah koperasi adalah bergantung kepada tiga elemen utama yang saling melengkapi antara satu sama lain seperti, Anggota Koperasi, Anggota Lembaga Koperasi (ALK) serta Kakitangan Koperasi. Kerjasama yang erat antara satu sama lain adalah asas yang akan menentukan kejayaan dalam apa sahaja aktiviti yang dilaksanakan. Bagaimanapun, semangat “kekitaan” dan wadah “Koperasi Kita Komitmen Kita” adalah asas kepada hidupnya  koperasi ini.

Oleh yang demikian, saya selaku Pengerusi Koperasi Celcom Berhad terus menyarankan agar semua warga koperasi berperanan aktif dalam menentukan organisasi yang kita anggotai ini kekal cemerlang dengan menyokong apa jua aktiviti koperasi baik dari segi ekonomi, sosial dan kemasyarakatan. Sumbangan daripada anggota walau sekecil mana saiznya atau dalam apa jua bentuk sekalipun, amatlah tinggi nilainya kepada koperasi.

Sesungguhnya apa jua komitmen kita akhirnya kembali semula kepada warganya dalam pelbagai bentuk kewangan, kemudahan, perkhidmatan dan nilai-nilai kebajikan yang akan dijadikan teras utama pengurusan dan pentadbiran koperasi.

Akhir kata, ucapan jutaan terima kasih kepada semua perwakilan yang hadir dalam mesyuarat pada kali ini. Tidak lupa juga setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Pengarah SKM Wilayah Persekutuan serta kakitangannya yang tidak putus-putus membantu dan membimbing Kopcel. Jutaan terima kasih juga buat ALK dan pengurusan Kopcel atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam usaha meningkatkan prestasi Kopcel. Semoga kehadiran dan usaha kita semua dapat memantapkan lagi koperasi kita dan memperoleh keberkatan daripada Allah S.W.T. jua. Jazakallah.

Sekian. Wassalam.

“KOPERASI KITA, KOMITMEN KITA”

MOHD MUDASIR BIN ABDULLAH

PENGERUSI

Koperasi Celcom Berhad